28 April 2014

Kuasa kita

Baru-baru hari tu aku ada menonton sebuah rancangan temu bual hiburan dari sebuah stesen televisyen swasta berbayar yang ditayangkan secara langsung. Pengacaranya berpasangan (seorang lelaki dan wanita). Manakala tetamunya terdiri dari tiga orang pelawak lelaki terkenal.


Gambar Hiasan

Macam biasa, masing-masing berkongsi perkembangan kareir mereka buat tatapan penonton, peminat, atau pun mak cik Senah yang tak tahu nak tengok cerita apa pada malam itu. Tiba pada seorang tetamu undangan itu, dia berkata dia sedang/ bakal (aku lupa part ini) menjalani sebuah pengambaran filem komedi seram. Pengacara itu bertanya, “kenapa filem seram, tak nak try filem lain ke macam mana…”?. Ringkas jawab tetamunya, “sekarang semua orang suka filem seram, komedi”.

Jawapan itu mungkin tak ramai perasan, atau dianggap hanya sebuah jawapan terlintas dalam fikiran dia. Tapi bagi aku, jawapan itu buatkan aku terfikir, betul ke semua suka tonton filem seram dan komedi? Atau apakah itu ‘tanggapan’ para producer filem tanah air? Sebab ironinya, jika kita jenguk ke laman sosial, rata-rata pengguna laman sosial tempatan mengatakan mereka muak dan ada yang ‘bash’ filem-filem sedemikian. Tidak kurang juga ada yang menjadikan kebanjiran filem-filem ini sebagai bahan jenaka.

­Apa ‘dosa’ filem seram, cinta dan gangster tempatan?


Secara peribadi, aku tidak menidakkan filem-filem seram, cinta dan gangster. Seperti filem cinta, bagi aku filem tema cinta tak klise sebab nak diikutkan filem-filem luar juga banyak bertemakan cinta atau tidak pun ada diselitkan sikit unsur cinta dalam satu-satu filem tu. Malah filem yang paling lagend dalam sejarah perfilem dunia ialah filem cinta, Titanic. Begitu juga dengan filem-filem Allahyarham P. Ramlee, kebanyakkan filemnya berunsur cinta atau ada selitnya unsur cinta.

Gambar Hiasan

Jadi apa yang dibencikan sangat filem-filem ini? Kebanyakkannya akan mengatakan mereka mahukan jalan cerita yang pelbagai. Tak salah bikin filem cinta, seram, gangster, tapi ceritanya harus segar ideanya, lain dari yang lain dan yang paling penting tidak ‘diceduk’ dan ‘dikait’ dengan filem lain atau ‘di-asal-boleh-jual-sahaja-kan’. Tidak dinafikan, filem-filem kita adakalanya, terikut dengan corak filem-filem negara jiran kita. Sebagai contoh, kebanyakkan filem yang bertemakan gangster kita ada sedikit acuan filem gangster dari Thailand. Tak tahu lah kalau persamaan itu kebetulan.

Filem kita



Filem tempatan, The Journey, berjaya menjadi filem terlaris dalam sejarah perfileman Malaysia apabila berjaya mengutip dalam RM 17 juta sepanjang enam minggu ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan. Filem ini mengetengahkan tema kekeluargaan, cinta dan komedi. Apa yang uniknya filem ini, dia menyentuh isu nilai kekeluargaan yang makin menghilang dalam masyarakat asia, khusus negara kita sekarang ini. Dalam makna yang lain, filem ini dekat dengan diri kita.



Walau bagaimanapun, ada juga filem yang baik namun malangnya kutipan tidak memihak pembikin filem itu. Selain Bunohan, filem KIL yang trending di laman sosial Twitter, semasa tanyangannya turut menerima tempiasnya. Akhbar Harian Metro menyiarkan satu artikel di mana ada menyenaraikan 10 kutipan filem terendah. KIL turut tersenarai.



Aku hairan. Sungguh hairan. Filem ini bagus. Malah trending di Twitter tidak henti-henti dalam sepanjang hari tanyangannya. Sudah habis tayangannya, selain bercerita aib orang lain, juga ada yang masih menjadikan, ‘kehangatan’ KIL, sebagai perkara untuk berbual dengan rakan pejabat. Feedback yang aku tengok sangat positif. Sehingga ada rakan aku yang menonton lebih dari satu kali. Tidak hairanlah bagaimana filem ini berjaya merangkul anugerah Filem Terbaik dalam Anugerah Skrin 2013.

Kita punya kuasa

Aku berkesempatan menghadiri sebuah bengkel drama yang dianjurkan sebuah syarikat televisyen tempatan dalam beberapa bulan lepas. Dalam satu sesi bersama seorang pelakon yang sinonim dengan filem Yasmin Ahmad, ada peserta bertanyakan soalan, mengapa filem-filem tempatan yang baik kurang mendapat sambutan yang baik dan kenapa filem-filem ‘klise’ sering mendapat perhatian. Dengan spontan pelakon itu bertanya kembali kepada semua hadirin, siapa dan berapa ramai yang menonton filem-filem seperti Bunohan, KIL di pawagam? Ternyata, boleh dibilang dengan jari bilangan yang mengangkat tangan.


Gambar Hiasan

Kenapa filem-filem yang terlampau ringan dan asal-boleh, boleh dibikin dan keluar ke layar perak  macam cendawan tumbuh selepas hujan? Ini kerana kita, sebagai penonton, masih lagi membeli tiket untuk menonton filem-filem sedemikian. Ya, kita. Ini yang pelakon tadi ‘hasut’ aku dan hasutanya buat aku berfikir.


Gambar Hiasan

Kita mungkin tak boleh nak jumpa seorang demi seorang pengarah di Malaysia nak beri tahu filem bagaimana yang kita suka, tapi kita ada kuasa dalam memilih dan memberi ‘isyarat’ kepada mereka, kita mahu filem yang bagaimana, dan filem yang mana patut kita bayar.

Selepas ini, mana dirasakan filem itu bagus khususnya ada mesej kepada penonton dan masyarakat, kita sokong dan ‘laburkan’ atas filem itu. Seterusnya, mana filem yang kita rasa buang masa, apatah lagi buang duit, kita ‘hasut’ kenalan kita khusus yang kaki wayang, untuk ‘boikot’ filem sedemikian.



Kalau rakyat marhaen boleh memilih dan menentukan siapa yang layak memegang tampuk pemerintahan dalam mana-mana negara, kita sebagai penonton, boleh memilih mana filem yang patut diangkat dan mana yang tidak. Kita juga boleh ubah corak perfileman negara kita.

Sebelum mengakhiri catatan ini, aku nak katakan yang aku bukan pelajar filem atau lakonan, jauh sekali penerbit atau pengarah filem profesional. Aku cuma menyuarakan pendapat sebagai seorang penonton dan sebagai seorang yang mahu lihat industri filem negaranya setanding dengan negara luar. Apakah aku tidak layak menyuarakan pendapat? Apakah aku harus menjadi seorang tukang masak yang profesional dalam sebelum hendak ‘menyuarakan’ pendapat terhadap makanan yang dimasak di restoran-restoran?


Gambar Hiasan

Filem pada masa kini bukan sahaja sebagai hiburan, malah melalui filem kita boleh membentuk dan mendidik masyarakat sebab filem, adalah salah satu medium penyampai satu satu idea selain buku, radio dan lain-lain.

"Filem adalah satu penceritaan. Jika sebuah filem itu gagal menyampaikan mesej dengan baik, namun mendapat kutipan box office, filem itu masih gagal. Begitu juga sebaliknya", Redza Minhat.


#Rujukan


Related Articles

0 Komentar:

Amirrul Rabbani Rashid. Dikuasakan oleh Blogger.